SELAMAT DATANG.


Hadis Rasulullah s.a.w. dari Jabir R.A.:
"Katanya sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: Bagi Setiap penyakit ada ubatnya, maka apabila ubat itu sesuai untuk sesuatu penyakit, akan sembuh dengan izin Allah."

Khamis, 17 Februari 2011

MENGENALI BEKAM



Bekam merupakan salah satu daripada rawatan alternatif yang tertua di dunia. Keistimewaan bekam dalam islam ialah ia merupakan satu amalan perubatan yang dihadiahkan oleh Allah s.w.t. kepada ummat Nabi Muhammad s.a.w semasa baginda menjalani peristiwa israj dan mikraj  lebih 1500 tahun dahulu.


Ini dijelaskan dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan oleh Tarmizi dari Ibnu Mas'ud Nabi bersabda yang bermaksud: "Aku tidak berjalan di hadapan sekelompok malaikat pada malam aku diisraj mijrakkan melainkan mereka 
berkata; Wahai Muhammad, perintahkan ummatmu untuk berbekam". 


Dalam hadis yang lain juga dinyatakan bahawa ketika nabi hendak kembali daripada israj dan mikraj, malaikat menyampaikan perintah Allah kepada nabi dengan berkata: "Ini hadiah dari Allah untuk untukmu".


Dari hadis di atas jelaslah bahawa kedudukan bekam dalam islam mempunyai kedudukan yang sangat tinggi sehingga penerimaan perintah berbekam kepada Rasulullah dilakukan di langit, tidak di bumi iaitu diselarikan dengan perintah untuk bersolat.


Kehebatan berbekam dinyatakan dalam hadis dari 'Uqbah bin Amir yang bermaksud "Rasullullah bersabda: ada tiga hal yang jika pada sesuatu ada kesembuhan, maka kesembuhan itu ada pada sayatan alat bekam atau minum madu atau membakar bahagian yang sakit.  Dan aku membenci pembakaran (sundutan api) dan tidak juga menyukainya".


Walaupun amalan berbekam telah wujud sejak zaman Mesir purba, kaedah berbekam dalam islam adalah berbeza dari segi konsep pelaksanaan dan adab-adabnya.  Berbekam menurut islam mestilah dimulai dan diakhiri dengan bacaan dan doa tertentu, kedudukan bahagian tubuh yang perlu dibekam dan masa-masa yang tertentu menurut kalender islam.  Bekam Sunnah adalah amalan Rasulullah s.a.w yang dilakukan pada bahagian tertentu sahaja sebagaimana yang diajar oleh baginda untuk penjagaan kesihatan secara menyeluruh dan menghindari gangguan makhluk halus.


Berbekam tidak terhad kepada bahagian tertentu sahaja tetapi boleh dilakukan pada semua bahagian tubuh yang sakit atau bermasalah kecuali bahagian-bahagian yang dilarang iaitu pada biji mata dan kemaluan.  Oleh itu banyak penyakit boleh dirawat dengan bekam iaitu sehingga 93 jenis penyakit!


Apakah Bekam?


Bekam dalam bahasa Arab disebut Al-hijamah yang bermaksud mengeluarkan darah kotor atau angin atau kedua-duanya secara langsung daripada tubuh badan melalui kulit dengan menggunakan peralatan tertentu seperti tanduk, buluh, cawan dan lain-lain peralatan. 


Bekam pada hari ini tidak lagi menggunakan tanduk atau buluh tetapi telah dimajukan dengan penggunaan peralatan rawatan yang canggih seperti pen dan jarum penyucuk yang telah disteril, cawan bekam yang khas dengan pelbagai saiz, kapas lap berubat, krim antiseptik, tisu sebagai bahan pengesat darah, bahan pensteril untuk mencuci peralatan seperti Cidex, Hibitane, Cetfavlon, clorox atau dettol. Darah kotor juga dipam keluar dengan menggunakan pam tangan atau mesin pengepam menggantikan teknik menyedut dengan mulut seperti zaman dahulu.


Jenis-jenis Bekam


Ada 4 jenis bekam yang diamalkan iaitu:
  • Bekam kering atau disebut juga bekam angin iaitu berbekam tanpa mengeluarkan darah dari tubuh.
  • Bekam basah atau bekam darah iaitu cara bekam yang terbaik.
  • Alfashdu iaitu cara pembuangan darah dengan melakukan pembedahan pada saluran vena.
  • Bekam lintah iaitu menggunakan lintah untuk menyedut darah kotor di bahagian yang hendak dibekam.
Mengapa perlu berbekam dan apakah khasiatnya?  Ikuti pos seterusnya melalui blog ini dengan cara mudah iaitu mengisi borang langganan di sebelah kiri blog ini. Maklumat terkini akan dihantar terus ke emel anda!.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan