SELAMAT DATANG.


Hadis Rasulullah s.a.w. dari Jabir R.A.:
"Katanya sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: Bagi Setiap penyakit ada ubatnya, maka apabila ubat itu sesuai untuk sesuatu penyakit, akan sembuh dengan izin Allah."

Rabu, 25 Mac 2015

BENCANA PENYAKIT: PUNCA DAN KAEDAH MENANGANINYA

Apabila kesakitan datang menjengah, perkara pertama yang terlintas difikiran ialah mencari penawar kepada kesakitan itu.  Tetapi pernahkah kita terfikir mengapa penyakit itu datang menyerang kita?  Sesungguhnya Allah tidak akan mendatangkan sesuatu penyakit kepada manusia melainkan ianya adalah suatu peringatan dan supaya kita mencari hikmah di sebaliknya.
Penyakit adalah satu musibah atau bencana.  Ia muncul tanpa diduga dan kesannya juga tidak dapat diduga; hatta penyakit itu pada awalnya dianggap sakit ringan tetapi berakhir dengan kematian.

Definisi

Wikipedia mendefiniskan bencana sebagai impak suatu bahaya semula jadi atau buatan manusia yang memberikan kesan negatif kepada masyarakat atau alam semula jadi.

Manakala definisi penyakit adalah keadaan tidak normal pada badan atau minda yang menyebabkan ketidakselesaan, disfungsi, atau tekanan/stres kepada orang yang terbabit atau berhubung rapat dengannya.

Kategori Penyakit

Secara umumnya penyakit terbahagi kepada dua iaitu penyakit jasmani dan penyakit rohani. 


Penyakit jasmani adalah sesuatu yang boleh dirasai oleh tubuh, dapat dikesan dengan peralatan seperti suhu badan, ketumbuhan, tekanan darah, degupan jantung dan ujian darah.  Penyakit fizikal meninggalkan kesan kepada pesakit seperti lemah badan dan pemikiran, kecacatan organ dan sistem tubuh.

Penyakit rohani pula adalah sesuatu yang tersembunyi, yang hanya dapat dirasai oleh penderitanya sahaja tetapi tidak dapat dikesan dengan peralatan perubatan yang canggih.  Penyakit ini boleh berpunca daripada beberapa faktor seperti gangguan makhluk halus, penggunaan jin dalam perubatan tradisional dan juga tekanan perasaan yang tidak terurus.





PENYEBAB TURUNNYA BENCANA PENYAKIT

Sebuah buku mengenai perubatan bertajuk “Mengelak Dari Bala  - Berubat Menurut  Al-Quran & As-Sunnah” yang diterjemah daripada kitab “Raf’ul Bala” Wa Mu’alajatul Mashaib”  karangan Syeikh Muhammad bin Syayi’ bin Abdul Aziz (terjemahan Aunur Rafiq & Munirul Abidin), terdapat lima punca kepada penyebab penyakit.

Lima penyebab penyakit adalah:

1     Mengenepikan/meninggalkan Al-Quran
2.  Berpaling daripada mengingati Allah.
3.  Pengangguran/luang masa (bermalas-malasan untuk bekerja/beribadah).
4.  Memakan barang haram.
5.  Lalai mengingati kematian



Kita akan membincangkan kelima-lima penyebab penyakit ini dari segi jasmani dan rohani.  Semua penyakit yang dihidapi oleh manusia akan mempengaruhi dan meninggalkan kesan kepada sifat  jasmani dan rohani pesakit ketika sakit mahupun selepas sembuh.


1.            MENGENEPIKAN/MENINGGALKAN AL-QURAN

Dalam Surah Al-Furqan ayat 30 Allah berfirman:


 “Dan berkatalah Rasul:  Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan A-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.”



Menurut Ibnu Qayyim Rahimullah, mengenepikan Al_Quran bermaksud:

·    Tidak mengambil berat untuk mendengar, mengimani dan menyemaknya.

·   Tidak mengamalkan perintah halal dan haram yang dinyatakan dalam Al-Quran meskipun telah membaca dan mengimaninya.

·   Tidak mengambil berat untuk merenung, memahami dan mengetahui apakah yang Allah maksudkan dalam ayat-ayatNya.

·   Tidak tertarik dan yakin untuk berubat dengannya sedangkan Allah telah memberitahu bahawa ayat-ayat  Al-Quran itu mengandungi penawar untuk merawat penyakit.

Oleh kerana manusia tidak lagi mempedulikan Al-Quran, maka pelbagai bencana penyakit telah diturunkan akibat kedegilan manusia menegakkan hukum halal dan haram dalam pemakanan, pergaulan, perdagangan, pentadbiran negara, politik dan bersosial. 

Lebih dahsyat lagi manusia yang sakit ini telah mencari rawatan dengan keyakinan terhadap kemampuan manusia sahaja dengan pengabaian terhadap penawar yang paling mujarab iaitu Al-Quran.  Mari kita lihat pernyataan Allah mengenai penawar yang ada dalam Al-Quran sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Israa’ ayat 82 :


“Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”


2.           BERPALING DARIPADA MENGINGATI ALLAH

Firman Alah dalشm surah Al-Zukhruf ayat 36:

  

"Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (A-Quran yang diturunkan Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu jadilah syaitan itu temannya yang tidak langsung rengang daripadanya."

Jelas, Alllah telah mengingatkan manusia supaya sentiasa berzikir kepadaNya (mengingatiNya) supaya dijauhkan daripada  gangguan syaitan.  Apabila syaitan telah menjadi pendamping manusia, maka tidak hairanlah ramai manusia telah mengidap penyakit yang tidak dapat dikesan melalui perubatan moden yang serba canggih. 

Syaitan itu adalah makhluk yang sentiasa berusaha menyesatkan dan menyakitkan manusia dengan memasuki aliran darah dan merosakkan sistem tubuh manusia.  Manusia tidak menyedarinya sehinggalah suatu ketika mereka merasa kehilangan upaya dan lemah jiwa akibat gangguan makhluk halus itu tadi.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib  telah menyatakan dengan jelas akibat membelakangkan  Allah dalam urusan hidup. 

Rasulullah telah bersabda: “Jika umatku melakukan lima belas perkara maka mereka akan ditimpa bencana”.  Ditanyakan apakah itu wahai Rasulullah?  Baginda menjawab: “Iaitu jika:



  1. Apabila harta negara hanya beredar di kalangan orang tertentu sahaja 
  2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan 
  3. Zakat dijadikan hutang 
  4. Suami menurut kehendak isteri (dalam perkara bertentangan syariat) 
  5. Anak derhaka terhadap ibunya 
  6. Akan tetapi (anak tadi) sangat baik terhadap kawan-kawannya. 
  7. Ia (anak) suka menjauhkan diri daripada ayahnya
  8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid. 
  9. Yang menjadi ketua sesuatu kaum adalah orang yang paling hina di antara mereka.
  10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya. 
  11. Arak sudah diminum secara berleluasa. 
  12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki) 
  13. Para artis-artis disanjung-sanjung. 
  14. Muzik banyak dimainkan/didendangkan. 
  15. Generasi akhir umat ini akan melaknat generasi pertama (para sahabat terdahulu).




Maka pada saat itulah mereka akan ditimpa penyakit yang belum pernah menimpa generasi sebelumnya ataupun mereka akan ditimpa kerendahan dan kehinaan”.

Hadis ini memberi amaran bahawa bencana akan menimpa manusai jika mereka mengabaikan zikrullah dalam urusan hidup seharian.  Pada hari ini kita melihat pelbagai penyakit kronik menyerang manusia seperti AIDS, pelbagai jenis kanser, penyakit kelamin dan gangguan mental.


3.         PENGANGGURAN/LUANG MASA (Bermalas-malasan untuk bekerja/beribadah)

Hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari menjelaskan kerugian kerana sikap pemalas:

Dari Ibnu Abbas r.a. berkata, “Nabi s.a.w. bersabda, dua nikmat yang di dalamnya ramai manusia mengalami kerugian, iaitu sihat dan waktu luang (menganggur).”

Allah memerintahkan manusia supaya tidak berhenti atau malas daripada menyembahNya sehinggalah datang ajal sepertimana firmaNya dalam surah Al-Hijr ayat 99.
   

“Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal).”

Kemalasan bekerja mendorong berlakunya jenayah dalam masyarakat seperti kecurian, rompakan, penipuan dan menimbulkan penyakit sosial yang sangat dipandang ringan iaitu meminta sedekah tanpa segan dan silu walaupun berbadan tegap dan masih muda.

Waktu terluang tidak diisi dengan ibadah/berzikir tetapi dipenuhi dengan aktiviti menonton rancangan TV yang tidak membina daya intelek, bersantai di pantai dan berasak-asak di pusat membeli belah sekadar “window shopping” atau menyibukkan diri di konsert-konsert artis pujaan.

Akibat aktiviti hidup yang tidak sihat inilah munculnya penyakit sosial yang paling dahsyat iaitu pergaulan seks bebas yang berakhir kepada kelahiran anak-anak zina, pengguguran janin dan pembuangan bayi yang tidak dikehendaki ini.

Menular pula penyakit AIDS yang akhirnya merosakkan sistem masyarakat kerana jangkitan yang tidak terkawal dan tidak disengajakan melalui perkahwinan kerana tidak menyedari bahawa pasangan yang dinikahi adalah pengidap AIDS.

Maka benarlah sepertimana kata-kata Imam Shafie: “Jika kamu tidak menyibukkan diri dengan kebenaran maka kamu akan menyibukkan diri dengan kehinaan.”


4.         MEMAKAN BARANG HARAM

Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 172:


"Wahai orang-orang yang beriman!   Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang Kami turunkan kepadamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadah kepadaNya."

Seluruh sistem tubuh manusia terbentuk daripada makanan yang dimakan.  Makanan pula mempengaruhi sistem tubuh seperti sistem tulang, sistem darah, sistem imuniti, pembinaan sel dan kesihatan kulit.  Makanan yang halal bukan sekadar halal dari sudut sumbernya sahaja iaitu selain daripada anjing dan babi dan keturunan keduanya, tetapi juga halal daripada sudut syari’e.


Konsep Halalan Toyyibah
Halalan Toyyibah bermaksud dibenarkan atau tidak dilarang, baik dan diperolehi daripada sumber yang asli.  Konsep ini menekankan bahawa sesuatu makanan itu mestilah halal dan suci dari segi fizikal dan juga sumber.  Syarat untuk menjadikan sesuatu makanan itu halal lagi toyyibah antara lain ialah: 


·         Berpunca daripada tumbuhan atau haiwan yang dibenarkan oleh syarak untuk dimakan.

·         Dilakukan penyembelihan mengikut hukum syarak kepada haiwan kecuali ikan dan belalang.

·         Haiwan yang diternak tidak dizalimi seperti kurungan yang sempit, kotor, diberi makanan yang haram, disuntik untuk menggemukkannya sehingga sukar berdiri dan berjalan.

·         Haiwan ternakan tidak disekat kebebasannya untuk bergerak dan berkelamin.

·         Haiwan atau ternakan yang tidak mengandungi genetik terubahsuai (Genetic Modified Food).

·         Tidak mengandungi bahan yang boleh menyebabkan keracunan kepada sistem tubuh seperti bahan pengawet dan pewarna tiruan.

Kesan pemakanan kepada pembentukan tubuh badan dan rohani sangatlah besar.  Imam Al-Ghazali berkata:

“Jika kita inginkan anak yang soleh, bijaksana dan berguna, berikanlah ia dengan rezeki yang halal sejak lahir.  Makanan yang halal akan menjadikan mental mereka pintar dan fizikal yang cergas.  Sebaliknya anak akan menjadi derhaka jika diberi makan yang haram dan kotor.”

Penyakit akan hadir dalam tubuh badan apabila makanan yang diambil tidak mengandungi zat yang seimbang, bertoksid akibat kandungan bahan kimia seperti bahan pengawet, perasa dan pewarna, disediakan melalui proses pengetinan, dimasak keterlaluan hingga memusnahkan kandungan zatnya dan penyediaan di premis yang kotor.

“Kita adalah apa yang kita makan”.  Sering kita mendengar hujah ini tetapi adakah kita menyedarinya?  Nabi bersabda yang bermaksud perut adalah punca segala penyakit.  Maka memakan makanan yang haram dari segi sumber perolehannya juga menyumbang  pelbagai penyakit kepada manusia. 


5.         LALAI MENGINGATI KEMATIAN

Kematian adalah sesuatu yang pasti.  Apabila hakikat kematian dilupakan, bererti manusia telah bersikap lalai terhadap penciptaNya.  Orang yang lalai akan mudah ditimpa bencana.  Bencana wujud dalam pelbagai bentuk seperti kesakitan, keresahan jiwa, banjir, kemarau dan kemusnahan tanaman dan ternakan.  Allah berfiman dalam surah Al-Baqarah ayat 155.



Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman; dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.


 Hadis yang diriwayatkan oleh Al-Tirmizi dan Ahmad:
Dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. telah bersabda bermaksud: “Berdoalah kepada Allah dan yakinlah bahawa Allah akan mengabulkan.  Ketahuilah bahawa Allah tidak mengabulkan doa daripada hati yang lalai.”